
Kita sedang berada di bulan ramadan yang paling mencabar dan istimewa. Kenapa abanglejen beranggapan sedemikian rupa? Ini adalah kerana kita sedang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sedang bergelut untuk membiasakan diri dalam norma baharu.
Serangan Covid-19 yang melanda dunia semenjak Februari yang lalu meninggalkan kesan yang sangat mendalam sehinggakan ramai diantara kita yang luka tercedera. Melalui analisis abanglejen 3 perkara yang terjejas teruk ialah mental, spiritual dan fizikal seseorang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini. Keadaan ini sekaligus menyebabkan mereka hilang fokus dan hilang arah dalam kehidupan seharian mereka. Bagaimana kita hendak merawat luka ini supaya kita dapat mengharungi PKP dan kekal fokus dan komited sepanjang hari.
KEKUATAN MENTAL

Yang pertama mental ataupun sering dipanggil ‘mindset’ oleh pakar-pakar motivasi hebat diluar sana. Luka yang dialami mental kita akan kekal rosak sekiranya kita terus melayan berita-berita negatif yang berada diluar sana. Abanglejen faham yang kita takut, risau dan macam-macam lagi. Cukuplah sekadar kita ambil tahu dan melakukan tugas masing-masing seperti yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Tidak keluar dari rumah, sentiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan gaya hidup sihat. Fokus kepada penjagaan diri sendiri bukannya fokus kepada perkara diluar sana. Selain daripada itu bina tabiat positif seperti membaca buku, artikel bersifat ilmiah untuk membina pendinding dari perkara negatif.
KEKUATAN FIZIKAL

Akibat kemelut yang melanda dunia kini ada antara kita yang mula mengambil mudah tahap kesihatan kita. Kesihatan tubuh badan kita masih perlu dijaga rapi. Kita masih boleh melakukan senaman ringkas yang efektif di dalam rumah. Banyak video-video yang dikongsi di youtube mengenai jenis-jenis senaman yang boleh dibuat dirumah semasa musim PKP. Jangan lupa juga pada pemakanan yang sihat. Tidak guna bersenam jika kita asyik melantak di musim PKP ini, lebih-lebih lagi ketika berbuka puasa. Jaga-jagalah nafsu anda semua ya. Fizikal yang dijaga rapi memastikan anda sentiasa sedia dan fokus walau dalam apa jua keadaan sekalipun.
KEKUATAN SPIRITUAL

Apa yang berlaku pada ketika ini iaitu PKP atau wabak penyakit Covid-19 ini, janganlah kita marah dan menyalahkan keadaan. Ingat ya sebagai umat islam, semua ini adalah qada’ dan qadar Allah S.W.T. Kita sebagai hambanya perlu memanjatkan rasa syukur kerana masih diberi peluang bernafas di muka bumi ini. Ambil peluang PKP dalam Ramadan ini untuk kita berusaha mendekatkan diri lagi dengan Allah S.W.T. Marilah kita muhasabah diri, cari keredhaannya dan mohon keampunan.Abanglejen yakin dengan cara ini kita akan mampu kekal fokus dalam tindakan kita setiap hari.
Kita sedang berjalan menyusur sebuah gua yang gelap. Percayalah dihujung jalan kita akan berjumpa jalan keluarnya nanti. Persoalannya, adakah kita bersedia berhadapan dunia yang telah berubah itu nanti. Tepuk dada tanyalah selera.
Leave a Reply