
Setiap kali tiba musim ramadhan abanglejen mesti teringat ramadhan semasa masih kanak-kanak. Sepanjang hidup abanglejen, ramadhan ketika itu memang paling diingati kerana penuh dengan peristiwa yang tidak akan dapat dilupakan.
Semasa itu arwah unyang dak toknyang abanglejen masih hidup lagi. Setiap hari di musim ramadhan kami akan berbuka puasa beramai-ramai di rumah unyang dan toknyang. Persiapan berbuka setiap hari sudah bermula seawal pukul 12 tengahari. Mana tidaknya, yang bakal berbuka bersama-sama mencecah 30 orang setiap hari. Pukul 6 petang biasanya makanan sudah siap sedia terhidang. Dan kami yang kanak-kanak akan mula berkumpul dihadapan tv menunggu azan maghrib. Abanglejen masih ingat lagi, kami pernah merengek dengan unyang kerana tersangat lapar. Siksa rasanya ketika itu menunggu azan maghrib. Arwah unyang lah yang menenangkan kami ketika itu.
Di waktu malam pula, selepas berbuka memang paling abanglejen tunggu setiap tahun. Mana tidaknya, bulan puasa sahajalah masa di mana boleh keluar sampai larut malam. Surau di kampung (rumah abanglejen adalah kawasan perkampungan kecil di Kajang) memang meriah. Jadi di bulan puasa abanglejen akan ambil kesempatan untuk turut serta apa sahaja aktiviti surau semata-mata hendak melepak sampai larut malam.
Antara aktiviti di surau yang abanglejen akan turut serta sudah pastinya tarawikh. Tarawikh selalunya memang tidak larat hendak habiskan 20 rakaat. Cukup 8 rakaat, abanglejen akan ke luar kawasan surau untuk bermain. Biasanya kami akan main gasing, guli dan kejar-kejar. Kemudian selepas tarawikh yang ditunggu-tunggu ialah more. Jamuan makan moreh selalunya sedap-sedap sebab orang akan sponsor, siap abanglejen tengok lagi di papan kenyataan surau makanan apa yang disponsor.Masih lagi abanglejen ingat, ada satu malam burger yang disponsor untuk moreh. Abanglejen dan kawan-kawan berebut ambil burger, siap ada yang sorok dalam songkok. Bila dikenang balik memang sangat lawak.
Habis moreh, abanglejen akan turut serta bacaan tadarrus. Fuhhh, berpeluh ikut tadarrus ini. Mana tidaknya. Dewasa dan kanak-kanak mengaji bersama-sama. Bila sampai masa abanglejen kena baca memang terketar-ketar sampai kadang-kadang jadi salah tajwid yang di baca. Habuan join tadarrus ini selalu kami akan dapat dihujung bulan puasa. Sepasang kain pelekat dan duit raya RM100 sekurang-kurangnya akan dapat. Itulah nikmatnya walaupun selalu kena marah masa tadarrus.
Selepas tadarrus abanglejen akan balik ke rumah dalam keadaan mengantuk. Selalunya balik rumah bersama-sama ayah dan abang, jadi perasaan takut boleh dikatakan tiada langsung. Sampai rumah terus terbaring atas katil sehinggalah sahur esok dikejut oleh mama.
Leave a Reply