
Setiap tahun, kedatangan Ramadan akan disambut dengan gembira dan penuh kesyukuran oleh rakyat Malaysia. Bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan dari Allah S.W.T. Sambutan Ramadan di Malaysia, boleh dikategorikan sebagai unik dan istimewa. Salah satu daripada keunikannya ialah kepelbagaian makanan dan minuman di bazar Ramadan.
Ramadan 2020 menyaksikan bazar Ramadan terpaksa dibatalkan di seluruh negara. Namun ini tidak menyekat rakyat Malaysia dari menikmati makanan kegemaran mereka kerana adanya E-Bazar. Pembeli hanya perlu order dan kemudian sajian pilihan mereka akan dihantar terus ke pintu rumah.
Abanglejen juga adalah peminat tegar bazar Ramadan. Ada beberapa makanan dan minuman abanglejen yang sentiasa menjadi pilihan setiap kali melangkah ke bazar Ramadan. Jom kita tengok, mana tahu pilihan kita sama.
Murtabak

Terliur rasa di bulan Ramadan ini bila teringatkan Murtabak. Ini adalah menu utama setiap kali abanglejen berbuka puasa. Kebiasaan murtabak ada pilihan ayam ataupun daging. Di sesetengah bazar ramadan ada murtabak special yang dibuat lebih besar dan tebal contohnya di bazar ramadan keramat yang terkenal dengan ‘Keramat Murtabak’.
Ayam Golek
Penangan ayam golek memang sangat padu. Hari biasa hendak habiskan seekor pun termengah-mengah. Berbeza bulan Ramadan kalau seekor pun kadang-kadang tidak cukup. Abanglejen selalu akan beli ayam golek apa bila berbuka puasa beramai-ramai dengan keluarga. Ayam golek ada bermacam-macam jenis cara masakan. Yang paling abanglejen suka adalah ayam golek madu.
Popia Goreng

Popia Goreng bersambal. Fuhhh sedapnya memang tidak boleh dibawa bincang. Bezanya dengan popia basah ialah ia di goreng segar dalam kuali dan panas-panas. Abanglejen selalu beli popia goreng paling akhir sekali supaya panasnya kekal semasa berbuka puasa. Mencari popia goreng yang sedap kadang-kadang agak sukar kerana bukan semua orang mampu membuatnya dengan rasa sedap.
Roti John

Roti John adalah makanan segera yang mengenyangkan. Abanglejen biasanya akan beli kalau terlewat untuk berbuka puasa. Selalunya bila terperangkap dalam kesesakan lalulintas, roti john akan jadi makanan untuk berbuka mengalas perut terlebih dahulu. Cuma nasihat saya kepada mereka yang kali pertama beli roti john buatlah pemerhatian terlebih dahulu sebelum membeli. Ramai peniaga diluar mengambil kesempatan masak roti john dengan telur sahaja yang lebih, dagingnya kadang-kadang langsung tiada.
Kambing grill

Abanglejen memang peminat kambing. Tak kisahlah masak macam mana samada masak kurma, rendang, goreng, grill semuanya abanglejen akan makan. Di bulan ramadan ada dua tempat yang abanglejen akan cari kambing grill ini. Satu di bazaar ramadan satu lagi apabila memenuhi jemputan iftar di hotel bersama sahabat ataupun pelanggan. Paling abang suka ialah iftar di hotel kerana boleh ambil kambing grill sampai puas.
Air Buah Tembikai

Berbuka puasa tanpa air buah boleh dikatakan tidak lengkaplah juadah berbuka kita. Abanglejen sangat suka kepada air buah tembikai. Membeli air buah pun tidak semudah disangka. Abanglejen selalu beli di gerai yang mengisar buah-buahan di hadapan pelanggan. Sambutan pada air buah ini sangat tinggi. Terutamanya di awal bulan ramadan, abanglejen nasihatkan datanglah awal ke bazar ramadan sekiranya ingin beli air buah-buahan.
Bagi abanglejen ini adalah pilihan makanan kegemaran yang paling utama di bulan ramadan. Orang lain mungkin berbeza bukan. Setiap orang ada citarasa masing-masing. Yang penting amalkan sikap berjimat cermat di bulan ramadan dan jangan membazir.
Leave a Reply