Tanggal 29 Mei 1453, Constantinople di tawan oleh Kesultanan Uthmaniyyah yang dipimpin oleh Sultan Muhammed Al Fatih. Ini merupakan satu peristiwa yang sangat penting di dalam sejarah Islam dan juga peradaban dunia.
Apa yang lebih menarik lagi penawanan Constantinople ini telah diramal oleh Rasulullah S.A.W lebih 800 tahun sebelumnya. Di mana Rasulullah S.A.W bersabda “Umat Islam pasti akan membebaskan Constantinople, sebaik-baik pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya.”

Serangan ke atas Constantinople ini telah dirancang dan dilakukan oleh Sultan Muhammad Al Fatih dengan begitu rapi. Baginda Sultan bersama anggaran tentera 250,000 telah melakukan serangan bertubi-tubi untuk meruntuhkan tembok Kota Constantinople. Diberitakan serangan itu berlaku hampir sebulan namun menemui kegagalan.
Di saat moral tentera yang semakin merudum, Baginda Sultan menghubungi Tok Guru beliau iaitu Sheikh Shamsuddin. Sheikh Shamsuddin telah memberi semangat kepada beliau dan menceritakan kepada beliau berkenaan seorang sahabat Rasulullah S.A.W yang meminta dimakamkan di tepi kawasan tembok Kota Constantinople. Permintaan ini adalah kerana beliau ingin mendengar derap kuda sebaik-baik pemimpin dan tentera yang telah disabdakan baginda Rasulullah S.A.W
Mendengar kisah ini Baginda Sultan Muhammad Al Fatih segera mengerahkan tenteranya untuk memindahkan kapal perang merentas bukit bukau dengan menggunakan kayu log berminyak.
Proses pemindahan kapal perang ini berlaku dalam satu malam. Dan pada keesokan harinya tentera Kota Constantinople menjadi takut apabila mendapati Sultan Muhammad Al Fatih dan tenteranya telah berada di kawasan paling lemah di Kota Constantinople.
Akhirnya dengan idea luar biasa Sultan Muhammad Al Fatih itu telah membuatkan Kota Constantinople jatuh seluruhnya kepada Empayar Islam Turki Uthmaniyyah.
Sebuah peristiwa di saat Solat Jumaat pertama ingin dilakukan di Kota Contantinople. Semua orang di saat itu tertanya-tanya siapakah yang layak menjadi imam di kalangan mereka.
Menyaksikan pertelagahan itu, Sultan Muhammad Al Fatih pun bertanya.
“Siapakah di antara kalian pernah meninggalkan solat fardhu walaupun sekali?” Namun tiada siapa pun yang duduk.
Kemudian Baginda Sultan bertanya lagi.
“Siapakah di antara kalian pernah meninggalkan solat rawatib?” Separuh dari yang hadir pun duduk.
Soalan terakhir Baginda Sultan.
“Siapakah di antara kalian pernah meninggalkan solat tahajjud?” Maka semuanya duduk kecuali Sultan Muhammad Al Fatih.
Maka, Sultan Muhammad Al Fatih lah yang layak menjadi imam dikalangan mereka semua. Demikianlah kisah legenda penawanan Kota Constantinople yang dilakukan oleh sebaik-baik pemimpin dan sebaik-baik tentera.
Leave a Reply